| 0 comments ]


Debaran semakin memuncak. Tarikh pencalonan semakin hampir. Siapakah calon yang bakal bertanding untuk merebut kerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi Sesi 2011/2012? Tarikh keramat 16 Februari kini merupakan satu tarikh yang sangat ditunggu-tunggukan oleh seluruh warga Universiti Malaysia Pahang pada tahun ini.

Untuk pemilihan pada kali ini, 8 kerusi umum dan 16 kerusi fakulti akan dipertaruhkan dan menjadi rebutan bakal-bakal pemimpin mahasiswa bagi sesi 2011/2012. Jumlah ini bertambah satu kerusi bagi umum dan dua kerusi bagi fakulti berbanding 7 kerusi umum dan 14 kerusi fakulti pada sesi yang lepas. Ini adalah disebabkan oleh pecahan kerusi oleh Fakulti Kejuruteraan Pembuatan & Pengurusan Teknologi kepada dua jabatan iaitu Jabatan Kejuruteraan Pembuatan dan Jabatan Pengurusan Teknologi yang masing-masing diperuntukkan dua kerusi dan secara langsung membekalkan satu lagi kerusi tambahan kepada kerusi umum.

Sesi Pemilihan MPP yang lepas telah berjaya menunjukkan peningkatan peratusan jumlah turun mengundi dan juga berjaya meningkatkan keperihatinan mahasiswa terhadap kempen-kempen dan isu-isu yang dibangkitkan sepanjang kempen calon MPP yang lepas. Apakah suasana ini akan berulang pada sesi ini? Tidak banyak yang boleh diperkatakan sekarang selagi sesi penamaan calon belum diumumkan.

Begitupun, suasana kali ini dilihat agak tenang sebelum sesi pencalonan dan pasti juga akan berubah dengan serta merta apabila sesi kempen dan manifesto bermula pada 17 Februari 2011 jam 5.00 petang hingga 21 Februari 2011 jam 11.59 malam. Segala-galanya pasti akan merubah suasana kampus UMP serta merta.

Buat pertama kalinya juga, manifesto dan kempen akan dilakukan di Kafetaria KK5 yang merupakan satu-satunya kolej kediaman yang menempatkan mahasiswa UMP di Kampus Pekan. Walaupun Pemilihan MPP yang lepas telah mencatat sejarah sebagai Pemilihan MPP pertama yang melibatkan UMP Kampus Pekan, tetapi Pemilihan MPP kali ini dilihat akan lebih menghidupkan suasana kempen di UMP Kampus Pekan. Pastinya, suasana sunyi di UMP Kampus Pekan akan berubah sepanjang kempen Pemilihan MPP kali ini.

Tinggal dua hari lagi untuk pencalonan MPP dibuka kepada bakal calon MPP untuk Pemilihan MPP pada tahun ini. Siapakah calon anda? Sudahkah anda bersedia untuk mencorakkan masa depan UMP? Ayuh, mahasiswa sekalian! Bersedialah untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada calon-calon MPP kita!